Sunday, January 22, 2017

Persediaan Awal Menunaikan Haji

1.      Apabila kita telah mendaftar haji bermaksud kita sebenarnya telah bersedia untuk menunaikan haji. Dan apabila mendaftar kita akan diberikan tahun giliran masing-masing.
2.     Yang pasti ramai pasti terkejut dengan tahun giliran dan dirasakan tidak munasabah. Tetapi itulah realitinya kerana kesedaran menunaikan haji begitu meluas sehinggakan ada keluarga mendaftarkan anak masing-masing sejak baby lagi. Alhamdulillah!
3.      Dan ada jugak yang tidak langsung ambil tahu dan merasakan tahun giliran masih lama lagi. Tiba-tiba surat tawaran haji tiba dan giliran tunaikan haji adalah pada tahun semasa. Sedangkan duit belum cukup dan perlu dipenuhkan sebulan sebelum tarikh yang ditetapkan. Gagal berbuat demikian maka tawaran akan terbatal.
4.      Sebenarnya, ada beberapa tips awal yang membolehkan serta memudahkan kita yang sudah mendaftar haji. Ini penting andai tiba-tiba kita terpilih menunaikan fardhu haji. Antaranya :- 
·         Kita perlu menghadiri kursus asas haji (KAH) bersiri (selama hampir 4 bulan) di masjid terpilih di negeri masing-masing. Selalunya akan bermula pada bulan nov, dec atau jan. Terpulang kepada negeri masing-masing. Tabung Haji (TH) akan mengumumkan tarikh bermula kursus di web.
·         KAH ini boleh dihadiri oleh sesiapa pun. Tidak semestinya perlu mendapat tawaran haji. Ada peserta yang sudah hadir hampir 6 kali hadiri KAH tanpa gagal walaupun giliran lagi 10 tahun. Lebih banyak kita hadir KAH maka pemahaman kita lebih baik. Perlu diingat haji ini bersifat teknikal dan kita perlu jelas dengan setiap persoalan dan tindakan.
·         Disiplinkan diri untuk menabung ke TH setiap bulan. Jumlah itu perlu 'reasonable' sebab jika giliran lagi 2 tahun kita perlu cukupkan sekurang-kurangnya RM9,980 (fee ini akan berubah berdasarkan TH)
·         Selalu semak giliran dengan TH. Ada kes dipercepatkan. Saya pernah terjumpa seorang pakcik yang baru pergi umrah, tiba-tiba bila pulang dari umrah menerima surat tawaran mengejarkan haji. Suami isteri ini perlu menolak tawaran disebabkan duit sudah digunakan untuk mengejarkan umrah.
·         Apabila tawaran dikeluarkan dan kita menolak, TH tidak akan memberikan tawaran secara automatik pada tahun berikutnya. Dan kita perlu merayu semula.
·         Alamat dan nombor telefon terkini perlu selalu dikemaskini dengan TH. Ada banyak kes surat tawaran dikembalikan semula ke TH disebabkan tiada penerima. Apabila kita gagal menjawab tawaran pada masa ditetapkan maka tawaran akan terbatal.
·         Bagi yang isteri telah mendaftar haji terlebih dahulu. Suami juga perlu standby. Peraturan kerajaan Arab Saudi menetapkan wanita 45 tahun dan ke bawah perlu membawa mahram. Rayuan suami mempunyai merit yang tinggi untuk mengejarkan haji.
·         Semak juga tahun giliran ibu-bapa kita. Jika mereka terlalu tua atau uzur kemungkinan kita untuk pergi sebagai pengiring juga ada. Apa-pun kita tetap perlu mengemukakan rayuan.
·         Tawaran haji akan diberikan kepada yang telah mendaftar tanpa melihat jumlah wang simpanan. Tawaran adalah berdasarkan kepada tahun giliran bukan jumlah wang cukup atau pun tidak

Sedikit perkongsian berkenaan tips awal mengejarkan haji. Semoga Allah memberikan kesihatan,kemudahan,keselamatan serta kerahmatan untuk kita semua dijemput menjadi tetamuNYA. Ameen..


Monday, April 15, 2013

Akhirnya, blog ini kembali!

1. Oh!, menghampiri 2 tahun lamanya saya tidak menulis. Gara-gara, buku-muka menjadi fenomena yang agak garang dialam maya.

2. Terasa kemahiran menulis makin berkurangan, walaupun idea yang banyak terhimpun diurat kepala. Banyak yang hendak dicatat hendak dinukil namun tersasar. Adusss, betapa berharganya kemahiran menulis, betapa ruginya tidak dimanfaatkan.

3. Sepanjang 2 tahun, pelbagai cabaran dan ranjau ditempuhi. Alhamdulillah diri masih kuat dan tabah mengharungi nikmat kehidupan. Umur yang dipinjamkan semoga mendapat sesuatu dihari muka. Yang kita harapkan, yang kita mahukan, yang kita inginkan adalah kejayaan dihari akhirat.

4. Menghargai nikmat dan hakikat kehidupan, mengharapkan kasih yang maha esa, keluarga yang harmoni, keberkatan dan limpah kurnia illahi, rezeki yang diredhai, ketenangan dalam kehidupan. Inilah rencah kehidupan!

5. Menyentuh perkembangan semasa, pasti semua sudah tahu. Tiada apa yang hendak dicoretkan. Majoriti rakyat agak celik serta minda terbuka. Informasi terbentang luas, tanpa bersusah payah. Hanya satu klik semua terpampang didepan mata. Tidak seperti dulu mengharapkan cerita-cerita mulut, dan khabar2 yang belum pasti tentu.

6.Memangkah dengan matang. Rasionalkan diri serta mengkaji. Baik pihak sana mahupun pihak sini. Kedua-duanya ingin dilihat sempurna tanpa tempang disisi. Lima tahun sekali 'kuasanya' amat hebat.Hanya yang celik menjumpai sesuatu yang dicari, cukup kasihan kepada yang beremosi, akal dan fikiran kurniaan illahi tanda manusia itu hebat!

7. Untuk keluarga sendiri, kami tetap mengundi di negeri kelahiran sendiri. Walaupun berkorban masa, tenaga dan tambang. Sungguh kental semangat kenegerian tanpa boleh disangkal lagi. Dan yang pasti kedua-dua permata kami anak kelahiran negeri diketuai Tok Ali.

8. Masa yang berbaki 20 hari ini, kita gunakan untuk mengkaji dan mengundi! Apa pun saya tetap suka lagu mengundi yang dulu2 kala. Ahaks!

Monday, June 27, 2011

Janji manismu, pengalaman dan tips di Mahkamah Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM).




1.Pengalaman menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tribunal merupakan 1 pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Merasakan kami telah ditipu oleh seorang Kontraktor yang kononya hebat dan berdaftar dengan Kementerian Perumahan membuatkan Tribunal menjadi wadah dalam mempertahankan hak sebagai pengguna di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.

2.Kisah bermula apabila saya mengesan beliau memasang penghawa dingin terpakai dirumah baru kami. Sebaik menyedari hal ini saya membuat ‘cross –check’ terhadap semua hasil kerja beliau. Selesai mengumpul bukti saya berhadapan dengan beliau. Makanya pelbagai alasan comot diberikan sehingga menampakkan dirinya seperti seorang yang berkelulusan tadika.

3.Perkhidmatan diberikan saling tidak tumpah seperti tikus membaiki labu. Dipasangnya tinted cermin, namun seperti melekat kertas menggunakan gam. Melakukan kerja kimpalan di dalam rumah sehingga merosakan seramik. Mengecat warna kegemaran beliau bukan warna permintaan kami. Menipu cat kononnnya mempunyai ketahanan ‘weathershieled’ tetapi cat kapur yang diberusnya hanya bernilai RM 30 setin. Mencomotkan lantai seperti budak baru belajar mengecat. Membuat keputusan sendiri seolah-olah rumah kami milik beliau.

4.Selepas mengambil bayaran dan kami membayar berdasarkan kepada tahap kepuasan kerja yang amat minimal, beliau berjanji untuk datang semula bagi membetulkan kembali seramik yang dirosakkan. Sebagai seorang Islam saya bersangka baik. Namun, lepas 2 minggu hilang tanpa sebarang berita. Sebanyak 20 panggilan saya tidak dijawab, 10 sms tanpa balasan.Beliau terus menghilangkan diri. Alasannya telefon hilang!

5.Ternyata beliau melalui jalan yang amat bengkok sekali. Disangkanya lurus dan tenang akhirnya berduri. Sungguh silap, berjumpa pengguna seperti kami apabila kami memutuskan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas beliau.

6.Selepas meneliti Akta Perlindungan Pengguna 1999 serta membaca dengan teliti fungsi dan perjalanan TTPM, isteri memfailkan tuntutan di TTPM Melaka. Setelah mendapat pengesahan pihak TTPM, borang tuntutan perlu di pos menggunakan surat berdaftar. Apa yang dijangka tepat apabila surat itu dikembalikan oleh Posmen atas sebab gagal diserahkan.

7.Demi mempertahankan hak, saya mengambil keputusan untuk membuat serahan tangan. Abang Zam (bukan nama sebenar), jiran sebelah rumah yang amat prihatin serta amat membantu juga seorang anggota penguatkuasa memudahkan kerja kami apabila beliau menemani saya mencari Kontraktor itu sehingga ke lubang cacing. Akhirnya, rumah beliau ditemui. Perasaan yang dipendam selama 2 bulan dapat dimuntahkan dengan jayanya dihadapan beliau sehingga Kontraktor yang ‘hebat’ itu mengalirkan air mata jantannya. Saya juga berterus terang secara baik, keputusan ini diambil bukan untuk menghukum tetapi untuk mendidik beliau supaya lebih bertanggungjawab dan beramanah selepas ini dalam melakukan kerja dan tidak lagi menjadikan penipuan sebagai hobi utama! Lebih-lebih lagi melibatkan ribuan ringgit duit orang.

8.Peluang keemasan ini digunakan saya sebaik mungkin. Janji manisnya ibarat menanam tebu di tepi bibir dirungkai dan dibentangkan supaya beliau ingat kembali akan janji yang dibuat oleh lidahnya yang tidak bertulang itu. Beliau berkali-kali memohon maaf atas alasan isterinya sakit hendak bersalin namun sudah terlambat. Saya langsung tidak mempercayai kata manis beliau lagi oleh kerana hampir 2 kali beliau memberikan alasan yang sama, sehingga ke hari ini isterinya tetap tidak juga bersalin.

9.Akhirnya, tarikh pendengaran tiba pada 24 Jun 2011. Beliau gagal hadir dan memberikan alasan isterinya sekali lagi dimasukkan ke kamar bersalin. Prosedur di TTPM, perbicaraan tetap akan diteruskan tanpa kehadiran penentang dan Presiden TTPM akan memberikan keputusan. Sungguh mahal pengalaman disini. Antara kes-kes yang boleh dikongsi.

a.Kes 1 – Melibatkan sebuah IPTS. Kes tidak dapatkan diteruskan oleh kerana surat gagal diserahkan oleh Penuntut kepada Penentang. Penuntut menjelaskan surat diletakkan di Peti Surat namun tiada bukti diserahkan terus kepada Penentang. Presiden mengarahkan Penuntut supaya mencari alamat terkini di SSM. Presiden mengeluarkan kenyataan “surat perlu diserahkan kepada orang bukan kepada bangunan”. Kes ditangguhkan.

b.Kes 2 – Berkenaan produk pelangsingan badan. Penuntut memfailkan tuntutan oleh kerana produk yang digunakan tidak memberikan kesan kepada beliau. Penuntut memohon sejumlah wang daripada Penentang. Presiden mengeluarkan kenyataan “Kalau saya bagi keputusan semuanya hanya sebelah pengguna, makanya peniaga akan tutup kedai. Saya mesti adil kepada kedua-dua pihak”. Oleh itu, Presiden mengarahkan Penentang menggantikan produk lain kepada Penuntut.

c.Kes 3 – Peniaga cuba menipu pengguna. Penuntut memfailkan tuntutan setelah memasukkan sejumlah wang ke akaun Penentang namun berkeras mengatakan duit tidak diterima. Penentang gagal hadir. Kes menyebelahi Penuntut kerana berjaya menyakinkan Presiden dengan menunjukkan slip Bank. Presiden mengarahkan Penentang membayar wang kembali kepada Penuntut.

d.Kes 4 – Hal – ehwal penjualan kereta. Penuntut hadir sebatang kara tanpa sebarang bukti dan dokumen. Hanya membentangkan tuntutan yang diinginkan. Presiden mengarahkan beliau untuk mengumpulkan bukti dan dokumen sebelum memfailkan tuntutan.

e.Kes 5 – Melibatkan perjanjian dengan sebuah agensi pelancongan. Penuntut memfailkan kes kerana tidak puas hati dengan perjanjian yang diberikan oleh Penentang dan dikatakan berat sebelah. Dipendekkan cerita, Presiden menyebelahi Penentang oleh kerana Penuntut menandatangani helaian perjanjian yang diberikan oleh Penentang sebelum itu. Disini, Penuntut berkeras kerana tidak puas hati dengan perjanjian itu. Penuntut sekali lagi berkeras mengatakan mereka tidak membaca kandungan dengan teliti dan memahaminya. Presiden menjelaskan Penuntut perlu bertanggungjawab dan apabila tandatangan diturunkan bermakna Penuntut menerima dan bersetuju segala perkara yang terkandung. Sekiranya merasakan diri tertipu perkara sebegini hendaklah diadukan kepada polis jenayah komersil. Disini, saya menasihatkan kepada pembaca sekalian supaya sentiasa berhati-hati dan meneliti sebelum menandatangani apa-apa surat atau dokumen.

f.Kes 6 – Adalah kes kami sendiri. Dipermulaan, kes kami hampir terbatal oleh kerana ianya melibatkan kerosakan. Syukur, isteri seorang pendebat pencen mampu ‘twist’ kes kepada perkhidmatan. Jadi, kes kami ini boleh diteruskan untuk dibicarakan. Alhamdulillah, sebelum itu saya telah membuat beberapa persediaan dokumen dengan lengkap. Soalan diajukan bertalu-talu dengan gaya ‘provokasi’, namun setiap soalan mampu dijawab oleh isteri dengan tajam sekali. Hingga tiada ruang oleh Presiden untuk membuang kes ini. Akhirnya, Presiden mengeluarkan award dengan mengarahkan Penentang membayar ganti rugi. Walaupun, jumlah yang diluluskan adalah 40% lebih rendah daripada yang dituntut, kami tetap bersyukur. Audien mengucapkan tahniah dan kebolehan isteri untuk mematahkan hujah Presiden. Ia 1 pengalaman amat berharga!

10.Seterusnya, sabtu lepas saya sekali lagi membuat lawatan tidak rasmi ke rumah Kontraktor kami itu. Saya menyampaikan perintah mahkamah secara tangan dan perlu ditandatangani oleh beliau sebagai akuan terima. Beliau perlu menjelaskan bayaran yang diperintahkan dalam masa 14 hari bekerja daripada tarikh serahan. Sekiranya beliau gagal, kes boleh dibawa ke Mahkamah Majistret dengan denda tidak melebihi RM 5000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun dengan mengemukakan aduan kepada Pengarah KPDNKK negeri masing-masing.

11.Untuk maklumat, pihak Penentang boleh mempertikaikan award dengan memfailkan pertikaian dalam tempoh 30 hari selepas menerima award. Dalam tempoh sekarang, kami sedang menanti tindakan beliau yang akan berakhir pada 16 Julai 2011.

12.Antara tips yang boleh diberikan apabila melakukan urusniaga bernilai tinggi:

a.Menyimpan segala dokuman berkaitan resit, sebut harga, salinan perjanjian dsb.
b.Merekod tariikh-tarikh penting semasa melakukan transaksi.
c.Berkesan sekiranya mempunyai ‘perakam suara’.
d.Menyimpan no kad pengenalan serta alamat terkini individu tersebut.
e.Mengambil identiti perlu rakan kongsi individu tersebut.
f.Meneliti maklumat individu tersebut dengan membuat rujukan dengan pihak perlu.
g.Memahami bahasa badan serta tidak mudah terpedaya dengan kata-kata.
h.Membawa saksi sekiranya perlu.

13.Antara tips persediaan sebelum menghadiri perbicaraan TTPM :

a.Kes tidak melebihi tempoh 3 tahun.
b.Jumlah yang dituntut tidak melebihi RM25000.
c.Memastikan surat sampai kepada Penentang.
d.Menyediakan dokumen selengkapnya.
e.Menyediakan gambar bermutu tinggi untuk memudahkan visual Presiden TTPM,
f.Kebolehan menjawab soalan. Sekiranya tidak yakin anda boleh membawa saksi bersama.
g.Melakukan jumlah taksiran mengikut nilai pasaran bukan sekadar anggapan.
h.Yakin dengan kata-kata di hadapan Presiden TTPM.
i.Sentiasa tenang dan tidak gugup.
j.Mempunyai sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan Akta Perlindungan Penggguna 1999.

14.Itulah sedikit sebanyak tips yang mampu saya simpulkan berdasarkan pengalaman yang telah saya lalui. Di Malaysia, masyarakat kita amat kurang kesedaran berkenaan dengan ilmu kepenggunaan. Begitu senang sekali peniaga mengambil kesempatan dengan menipu pengguna sama ada sedar atau tidak. Hakikatnya, pengguna di lindungi oleh Akta perlu dipertahankan dan digunakan.

15.Melalui pengalaman sekecil ini juga, peranan TTPM mungkin boleh diperbaiki bagi memudahkan pengguna untuk memfailkan tuntutan serta memastikan pengguna bersedia secukupnya sebelum menghadiri perbicaraan. Ini kerana, pengguna bukan seorang yang arif di dalam aspek perundangan. Syarikat atau penentang, mungkin boleh diwakili oleh orang yang arif di dalam perundangan.

16.Akhir kalam, apa yang disampaikan disini adalah untuk berkongsi dengan semua pembaca.Ianya juga adalah berdasarkan kefahaman saya. Bukan tujuan untuk mengenakan atau mengaibkan mana-mana pihak. Niat dihati adalah untuk menyampaikan kepada semua sebagai pengguna kita perlu berhati-hati sebelum melakukan sebarang urusniaga lebih-lebih lagi yang melibatkan ribuan ringgit. Keringat tenaga tulang empat kerat bukan untuk di bayar kepada si penipu!

17.Ayuh mantapkan ilmu kepenggunaan. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada menipu dan melakukan penipuan!



Wednesday, March 30, 2011

16 Pilihanraya Bersamaan RM 11 Juta

1. Menurut Menteri di JPM, Datuk Seri Nazri berikut adalah kos perincian bagi setiap kawasan PRK :- a. Permatang Pauh (RM409,000) b. Kuala Terengganu (RM325,416) c. Bukit Gantang (RM460,971) d. Bukit Selambau (RM318,000) e. Batang Ai (RM391,700) f. Penanti (RM514,600) g. Manik Urai (RM548,003) h. Permatang Pasir (RM461,367.93) i. Bagan Pinang (RM449,485) j. Hulu Selangor (RM1.2 juta) k. Sibu (RM1 juta) l. Batu Sapi (RM1.290 juta) m. Galas (RM1.047 juta) n. Tenang (RM1.1 juta), o. Merlimau (RM755,000) p. Kerdau (RM915,000).


2. Kawasan yang dimerahkan adalah disebabkan oleh peletakkan jawatan oleh YB itu sendiri.


3. Ajal, maut, mati adalah kerja Allah. Namun, Kerajaan juga disarankan agar melakukan sesuatu untuk hanya membenarkan calon-calon yang sihat untuk bertanding.


4. Calon juga perlu mengemukakan pemeriksaan kesihatan dan mesti disahkan sihat sebelum bertanding serta diwajibkan menjalani pemeriksaan setiap 6 bulan.


5. Atau Kerajaan perlu untuk menggariskan kriteria berkenaan umur, latar belakang atau apa yang berkaitan untuk memastikan hanya calon yang betul-betul layak daripada segi kesihatan boleh menyertai pilihanraya.


6. Rakyat memerlukan YB yang cukup sehat untuk berkhidmat. Ini penting untuk memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat serta rakyat berhak untuk memperolehi khidmat yang cemerlang.


7. RM 11 Juta adalah sangat besar. Itu belum termasuk bajet menambat hati rakyat!


7. Selamat menghadapi PRN Sarawak.


Sunday, February 27, 2011


1. Sebentar tadi, saya dihubungi oleh rakan yang sudah 10 tahun tidak ketemu.

2.Beliau mengajak saya untuk sama-sama makan tengahari, pada mulanya saya menolak sebab mesyuarat serta tugasan yang tidak putus-putus. Saya mencadangkan untuk berjumpa di Gombak selepas waktu pejabat.

3.Tetapi oleh kerana beliau berada di kawasan Bukit Jalil makanya tiada sebab untuk menolak.

4. Kereta diatas, merupakan kereta beliau bukan kepunyaan saya.

5.Sungguh berbangga dengan kawan saya ini, dalam usia yang belum pun mencecah 35 tahun sudah memiliki AMG.Hebat!

6.Kata beliau “aku kawan dengan semua orang, tak kira siapa pun orang itu”. Betul, itulah sebenarnya rahsia kejayaan.

7.Sesetengahnya suka memilih kawan, namun tidak oleh orang yang berjaya. Bagi saya pulak, kawan adalah seperti periuk nasi, jika satu kawan kita bermusuh makanya satu lubuk nasi telah kita tutup.

8.Didalam politik pula, hari ini kawan, esok musuh. Hari ini bermusuhan, esok berkawan kembali. Didalam politik tidak ada kawan atau musuh yang kekal.

9.Lihat saja apa yang berlaku sekarang, kita sudah mampu mentafsir sendiri.

10.Didunia yang tidak kekal abadi ini, adalah sesuatu yang sangat baik jika memiliki ramai kawan. Mempunyai kawan yang banyak juga tidak bermakna kalau tidak pandai menjaga hati.

11.Dalam soal berkawan ini jangan pula kita mengambil kesempatan. Ini tidak baik dan perlu dielak.

12.Oleh kerana 10 tahun tidak berjumpa banyak yang ingin dibualkan. Masa mencemburui kami, hanya sempat berborak 50 minit.

13.Dalam masa sesingkat 50 minit, kawan saya ini sempat menceritakan pengalaman pahit duka beliau sebelum sampai ke tahap ini.

14.“Aku pernah dihalau oleh orang yang tumpangkan aku”, “Saudara aku sendiri memarahi aku tatkala aku menjamah nasi dirumahnya”, “Aku pernah 2 minggu tidak pernah menjamah nasi”.

15.Peristiwa diatas cukup untuk beliau bangun memperbaiki kehidupan. Beliau dilihat cukup kental menghadapi cabaran serta tabah mengharungi segala ujian.

16.Diakhir pertemuan, air jantan beliau hampir menitis dek kerana terkenang akan memori-memori dahulu.

17.Saya sempat menepuk bahu beliau memberikan semangat. Semoga beliau akan terus berjaya didalam bidang yang telah dan berjaya diceburi.

Wassalam

Tuesday, January 25, 2011

Tokoh Kontroversi Singapura.



1.Sekali lagi Tokok kontroversi Singapura ini mengeluarkan kenyataan yang begitu menyentuh perasaan umat islam didalam buku terbarunya. Antaranya kenyataan yang boleh difahami ialah Singapura boleh mengintegrasikan semua kaum dan agama kecuali islam.

2.Begitu pelik juga akan kenyataan sekeras ini. Sedangkan Lee Kuan Yew boleh dikatakan bijak dan seorang strategis yang hebat dalam meletakkan Singapura sebaris dengan Negara-negara maju di dunia. Walaupun tidak mempunyai hasil alam semula jadi namun negaranya tetap maju.

3.Lee Kuan Yew sendiri telah lama hidup di komuniti melayu yang beragama islam. Secara amnya, beliau sendiri boleh merasai nilai islam yang dipegang oleh orang islam, cara hidup, politik, ekonomi dan sebagainya.

4.Akan tetapi, didalam hati dan pemikiran beliau, nilai positif itu tidak diresapi dan ditafsir dengan baik. Beliau perlu sedar, Singapura adalah sebuah negara kecil yang sebesar noktah di peta dunia dengan dikelilingi oleh Negara umat islam yakni Malaysia dan Indonesia.

5.Kenyataan terbaru ini mengguris perasaan umat islam, mampu menganggu-gugat hubungan antara agama serta boleh mencetuskan perselisihan antara kaum. Kenyataan yang dianggap berbahaya seperti ini mencetuskan reaksi negatif terhadap islam.

6.Kita tidak tahu apakah sebenarnya agenda disebalik kenyataan itu. Namun, kita boleh pahami sejauh mana pemikiran LKY yang dilabel sebagai Negarawan hebat Singapura.

7.Ramai mengatakan Singapura adalah sebagai ‘israel’ Asia Tenggara. Mungkin ini juga adalah agenda barat untuk mengimbangi kebangkitan agama tercinta islam. Jika digabungkan antara Malaysia dan Indonesia ianya bakal melahirkan sebuah kuasa islam yang terhebat. Jadi, mungkin ini adalah salah satu agenda barat untuk menyekat berkembangnya pengaruh dan kuasa islam.

8.British ketika menjajah mungkin sudah terhidu. Makanya, British mengamalkan konsep pengasingan serta cuba menubuhkan ‘Malayan Union’ dengan cara menyeragamkan pentadbiran Negara, mengurangkan kuasa Sultan serta membuka kerakyatan dan kesamarataan kepada semua kaum. Tentangan hebat oleh orang-orang melayu ketika itu membuahkan hasil. British gagal. Namun, berjaya di Republik Singapura.

9.Berdasarkan perkiraan semasa, boleh digambarkan usaha untuk menukar sistem Raja Berpelembagaan di Malaysia masih belum berakhir. Ada pihak tertentu yang cuba menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Republik. Mungkin Singapura merupakan satu platform untuk itu. Hubungan akrab antara DAP-PAP merupakan satu petunjuk mungkin? Parti DAP di Malaysia mempunyai persamaan yang jelas. YB Lim Kit Siang didalam hati beliau pasti ada niat untuk menjadikan Malaysia ala republik?

10.Harapan agar umat islam di Malaysia dan Indonesia tidak terpengaruh dengan kenyataan tidak molek LKY itu. Walaupun, kesannya dilihat amat buruk yang boleh mencetuskan gimik baru ke arah mendinginkan hubungan antara Negara khususnya umat islam. Seharusnya, LKY yang terkenal itu boleh mengkaji atau merujuk kepada mereka yang pakar. Saya percaya Singapura, Negara sehebat itu mempunyai ulama-ulama yang hebat.

Sunday, January 16, 2011

Politik memerlukan talian silaturahim?



1.Di Malaysia banyak ahli politik yang mempunyai pertalian.

2.Di kem UMNO dahulunya adalah Pak Lah – KJ.

3.Sekarang juga masih ada Tun Mahathir – Mukhriz. Tapi kurang sedikit kontroversi oleh kerana ayahanda Datuk Mukhriz sudah bersara daripada pimpinan. Tapi Tun Mahathir masih aktif sedikit sebanyak tempias dapat juga pada Datuk Mukhriz.

4.Era kepimpinan Pak Lah hebat. Menantu dapat jawatan kedua tertinggi dalam pimpinan pemuda tanpa pertandingan. Ada pejabat sendiri di tingkat 4 putrajaya. Menantu juga dicalonkan sebagai Ahli Parlimen.Hebat kan?

5.Didalam DAP, Karpal Singh- Gobind Singh-Jagdeep Singh. Kesemua anak beranak ini Peguam-Peguam yang hebat belaka. Ada yang Ahli Parlimen ada yang Adun. Selain itu, Lim Kit Siang-Lin Guan Eng. Tapi ini ada lebih sedikit menantu pun terlibat Betty Chew kalau tak salah. Hebat kan?

6.Didalam PKR pula, Anwar-Azizah-Nurul Izzah. Ketiga-tiga mereka Ahli Parlimen. Memegang antara jawatan tertinggi dalam parti. Hebat kan?

7.Didalam PAS, Tuan Guru Nik Aziz – Ariffahmi. Menantu Tuan Guru ini tidak ada didalam politik sebaliknya hanya mengetuai salah sebuah syarikat dibawah Kerajaan Kelantan. Parti Pas antara parti yang tidak mencalonkan isteri, anak, menantu sebagai Ahli Parlimen. Sebuah parti yang masih dilihat bersih. Yang lain itu, faham-faham!.

8.Sebelum terlupa, kembar DAP iaitu PAP juga mengamalkan ‘sistem yang sama’. Lee Kuan Yew-Lee Hsien Loong. Menteri mentor dan Perdana Menteri Singapura.

9.Setakat ini saja la senarai yang ada dalam kepala. Kalau ada senarai lain pembaca boleh tambahkan sendiri.

10.Persoalannya, adakah politik memerlukan talian silaturahim untuk lebih mudah mendaki?

11.Yang mempunyai pertalian mungkin mudah mendaki. Yang tiada apa-apa tali, mungkin juga mudah naik kalau memiliki kekayaan. Yang tiada tali atau duit, mungkin kena usaha lebih kuat lagi.

12.Kepada yang sedang mengintai untuk menjadi calon PRU 13, pastikan anda mempunyai pertalian rasmi bukan tali rafia.Haha.

Wassalam